Yang pergi tak akan kembali.
Kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan selamat hari ibu buat ibu-ibu diseluruh dunia. Permulaannya aku berat untuk menulis artikal ini, kerana mengingati peristiwa lalu pasti air mata ini akan mengalir. Langkah demi langkah aku beranikan diri untuk menulis, tetapi apakan daya, jiwaku lemah, tika menulis, tidak sedar air mataku mula jatuh sedikit demi sedikit.
walaupun ibuku telah pergi sejak lapan tahun yang lalu, memori kenangan bersama ibu tercinta masih lagi sukar untuk dilupakan. Tahun 1999, 13 ogos hari jumaat adalah hari yang paling sedih dalam hidupku, 19 tahun bersama ibu tercinta, satu hari saat pemergian ibu tercinta membuatkan aku rasa tersangat pilu, sedih, hiba dan berbagai-bagai perasaan yang hadir ketika itu. Seribu satu macam yang datang bagaikan hilang segala-galanya. Walau apa pun aku tetap redho dengan ketentuan ALLAH yang maha esa.
Detik- detik permergian
Bilaku mengenang kembali detik-detik pemergian ibuku bagaikan semalam ibuku baru pergi meninggalkan dunia ini. Sebelum ibuku menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seri Manjung Lumut, Perak, ibuku bertahun-tahun menanggung keperitan sakit jantung. Saban hari aku melihat ibu makan ubat yang banyak, bagaikan makan nasi sepinggan.
Betullah kata pepatah ajal maut ALLAH yang tahu. Inilah rahsia ALLAH yang semua makluknya tidak mengetahui bilakah dirinya akan diambil nyawa oleh ALLAH.
Seminggu sebelum ibuku meninggal dunia, beliau berkata kepada ku yang dia rindu sangat pada anak-anaknya. "mak rindu sangat pada anak-anak mak, baliklah kerumah tiap-tiap minggu, mak seronok sangat bila kita dapat kumpul anak beranak". Kebetulan ketika itu aku dan adikku tinggal di asrama salah sebuah sekolah di Perak, cuma asramaku yang tak berapa jauh dari rumah. Aku setiap minggu pulang kekampung. Kakak Sulung di KL, abang pertama di Manjung yang masing-masing dah berkeluarga ketika itu, cuma yang selalu bersama ibuku dirumah pada ketika itu abangku yang kedua, kebetulan beliau bercuti dari salah satu Universiti di Timur Tengah dan seorang adik perempuanku yang juga telah meninggal pada tahun 2001.
Ibuku selalu berdoa dan berkata kepada anak-anaknya : "mak harap waktu mak meninggal nanti biarlah anak-anak mak semuanya ada ". Doanya dimakbul ALLAH, abangku yang belajar puluhan ribu batu ditakdirkan ALLAH bercuti pada ketika itu.
Sebelum ibuku dimasukkan kedalam Wad ICU Hospital Manjung, tidak ada nampak sakit yang teruk dialami, hanyalah rutin harian makan ubat yang banyak diberi oleh doktor. Pada malam khamis ibuku mengadu sakit, kakinya bengkak disebabkan darah tidak berjalan dengan lancar. Pada malam itulah ayahku membawa ibuku kehospital bersama abangku, setelah ibuku dimasukan kedalam hospital, sakit jantung yang dialaminya makin kronik, doktor menyatakan jantung ibuku tersumbat, itulah yang menyebabkan kakinya bengkak kerana darah tidak dapat berjalan dengan lancar. Kesakitan yang dialaminya menyebabkan beliau koma, pihak Hospital Manjung terpaksa membawa ibuku ke Hospital Ipoh kerana pada ketika itu Hospital Manjung tidak punya ramai tenaga pakar.
Setelah dibawa ke Hospital Ipoh pada malam itu, pihak Hospital Ipoh mengesahkan ibuku tidak dapat diselamatkan, pihak hospital terpaksa membawa ibuku kembali semula ke Hospital Manjung pada tengah malam tu juga.
Segala yang terjadi pada ibuku diceritakan apabila aku tiba di hospital pada pagi jumaat. Aku terasa terkilan dan sedih sangat kerana berita ibuku sakit diberitahu oleh kakak iparku pada pagi jumaat, katanya tidak mahu ganggu belajar. Setelah aku ke hospital, aku melihat ibuku di wad ICU dah koma, tidak sedarkan diri, aku bagaikan terpinga-pinga dan air mata mengalir tanpa disedari, kerana kebiasaan setiap pagi jumaat aku sudah berada dirumah menolong ibu dikampung. Aku setiap minggu pulang kekampung kerana asramaku dengan rumah tidak berapa jauh yang mengambil masa satu jam setengah dengan menaiki bas-bot-bas dan sampailah dikampung. Kebetulan ibuku jatuh sakit malam khamis, jadi seminggu aku tidak berbicara bersama ibu. Itulah yang menyebabkan aku bertambah sedih dan pilu.
Aku dikhabarkan yang ibuku telah dihantar ke Hospital Ipoh dan kembali semula ke Hospital Manjung kerana pihak hospital tidak mampu lagi mengubati penyakit ibuku. Pada pagi itu kami sekeluarga Hanya mampu berdoa supaya ALLAH selamatkan ibu kami yang tercinta. Aku bersama seluruh ahli keluarga terus membaca al-quran dan berdoa diruang legar hospital, cuma ayahku sahaja dibenarkan duduk ditepi katil ibuku. Sehinggalah waktu solat jumaat makin hampir, ibuku masih tidak sedarkan diri. Kami adik beradik pergi solat jumaat di masjid, tinggal ayahku sahaja terus menunggu ibuku yang sedang nazak.
Setelah selesai menunaikan solat jumaat kami telah mendapat panggilan telefon yang ibuku telah pergi buat selamanya. Apabila aku mendengar kakak iparku memberitahu berita itu, bagai luruh jantungku, lidah kelu tanpa berkata-kata. Itulah detik yang sangat pilu bagiku.
Ayah dan abangku mengiringi jenazah ibuku pulang kekampung dengan ambulans yang disediakan oleh pihak hospital, aku pulang dengan membawa van ayah bersama adikku, hilang arah, hilang tumpuan memandu ketika itu kerana wajah ibuku yang aku nampak, hati kecilku berkata-kata, kalaulah ALLAH memberi pilihan untuk tentukan kematian, aku akan memilih biar aku mati dahulu sebelum ibuku, kerana aku tidak sanggup menanggung keperitan kehilangan ibu tercinta. Kehilangan seorang ibu bagaikan layang-layang putus tali, tiada arah dan rasa tak mampu lagi untuk teruskan kehidupan ini. Air mataku terus mengalir, mencurah-curah sehingga membasahi baju. Sudahlah perjalanan menuju rumah ku mengambil masa yang panjang, lebih kurang 40km perjalanan kerumah aku pada ketika itu, kerana perjalanan dari rumah ke Hospital Manjung melalui jalan yang jauh kerana jambatan masih belum dibina lagi. Setelah jambatan dibina, jarak sekarang dari rumah ke Hospital Manjung Hanya 15km.
Orang ramai penuh sesak dirumahku, pada malam itu aku bersama ahli keluarga bergilir-gilir terus membacakan ayat suci Al-quran untuk ibuku, pagi itu kami semua adik beradik memandikan jenazah ibu, sekali lagi air mataku mencurah-curah, tidak tahan mengenangkan segalanya. Ketika kecil ibu memandikan kami, tiba saat ini anak-anaknya memandikannya dalam keadaan beliau tak sedar.
Aku teruskan sehingga selesai, kemudian kami mengkafankan, hinggalah ciuman terakhir kewajah ibu tercinta dan seterusnya menutup sepenuhnya dengan penuh rasa hiba. Langkah ini berat untuk melakukan apa-apa ketika itu kerana ku lihat disekelilingku wajah kakak, abang-abang, adik-adikku dan saudara mara terus mengalirkan air mata. Setelah selesai jenazah ibuku dikafankan, kemudian terus dibawa ke masjid untuk disembahyangkan dan terus dikebumikan pada pagi sabtu 14 ogos 1999.
Semoga ALLAH merahmati ibuku, anakandamu ini sentiasa doakan kebahahagianmu disana. Semoga ALLAH kumpulkan kita sekeluarga kembali ditaman yang indah bersama-sama orang yang soleh-solehah...ameennn.
AL-FATIHAH Buat SALASIAH BT NORDIN.
* gambar terakhir Ibuku di KLIA 1998.
ibu& adiku telah meninggal dunia
(yg tudung putih tak tgok kamera)
Ibuku idolaku...
Walaupun bertahun menahan penderitaan sakit jantung, ibuku tidak ada masa rehat yang panjang, setiap hari aku perhatikan beliau begitu tabah membantu ayahku untuk membesarkan anak-anak. Banyak masa dihabiskan untuk tugas-tugas harian dirumah dan membantu ayah menguruskan kedai runcit ketika itu. Tidak ada masa untuk berjalan-jalan dan bersiar-siar.
Alhamdulillah berkat kesabaran, ketabahan dan pengorbanan yang dicurahkan, hari ini anak-anaknya berjaya menjejakkan kaki kemenara gading yang dulu beliau hanya sempat melihat seorang sahaja anaknya ke Universiti.
Alangkah gembiranya seorang ibu apabila melihat anak-anaknya berjaya. Hilang rasa penat mendidik, mengasuh dari kecil, sejuk perut ibu yang mengandung anak soleh-solehah.
Pesanan kepada yang masih punya ibu.
1. Hargailah jasa ibu, walau banyak mana jasa, penat lelah, wang ringgit nescaya tidak juga terbalas pengorbanan seorang ibu.
2. Jangan sakiti hati ibu, dengarlah nasihatnya, janganlah membantah cakapnya walaupun dia tidak sependapat dengan kita. Jika ibu silap dalam tindakannya tegurlah secara hikmah jangan sampai dia terasa.
3. Jangan lupa berdoa untuknya setiap kali selepas solat.
4. Untuk yang berjauhan selalulah hubunginya, seorang ibu setiap saat sentiasa merindui anak-anaknya.
5. Hadiahkan kejayaan buat ibu tercinta.