Tuesday, July 17, 2007

Sentiasa Mengharap Pentarbiahan Dari Allah

Sedar tidak sedar kita telah masuk didalam bulan Rejab. Begitu cepat masa berlalu. Namun bagaimanakah tahap keimanan kita? adakah semakin meningkat ataupun sebaliknya?. Allah telah membentangkan panduan khusus iaitu Al-quran untuk hambanya sentiasa mengingati dari sifat lalai dan leka. Benarlah firman Allah dalam surah Al-asr : Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Allah s.w.t telah mengatur alam ini dengan sebaik-baiknya. Cukup indah, lengkap dan sempurna untuk hambanya mentadbir alam ini dengan panduan yang Allah tetapkan. Allah s.wt telah menjadikan setiap hari, bulan, tahun yang semuanya mempunyai keistimewaan masing-masing. Kesemuanya ini untuk hambanya bersyukur atas nikmatnya yang terlalu besar.

Pertarbiahan atau didikan dari Allah melebihi dari segalanya. Inilah nikmat yang paling besar yang perlu kita syukuri kerana nikmat inilah yang menjadikan kita sentiasa sedar dan sentiasa mempertingkatkan amalan kita yang sudah tentu ianya menjadi bekal yang berkekalan untuk bertemu Allah kelak.

Dalam seminggu hari Jumaat hari yang Allah muliakan dengan berbagai-bagai ganjaran bagi hambanya yang sungguh-sungguh mengharapkan limpahan rahmatnya pada hari itu. Begitulah seterusnya Allah jadikan bulan-bulan yang lain untuk mendidik manusia supaya tidak lalai dengan keasyikan dunia yang fana ini.

Sekarang kita telah sampai di bulan Rejab, bulan yang Allah muliakan seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w : Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat. Sabdanya lagi : bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku.

Kemulian-kemulian ini bukan hanya untuk dibaca atau sekadar tahu sahaja atau kemulian hanya tinggal kemulian sahaja, tetapi untuk mereka yang benar-benar menghargai dan menerima untuk diamalkan didalam kehidupan ini. Dengan ini marilah kita menyingkap kembali kemulian bulan ini agar kita dapat mempertingkatkan kerja buat kita didalam bulan ini.

Info Bulan Rejab :

Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya
Sya'aban dengan malam NISFUnya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.

Malam awal Rejab mustajab do'anya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah.

Puasa Bulan Rejab wajib baginya:
* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.

Allah menjawab: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka. Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya: "Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu.

Demi ketinggian Ku dan kebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau".( dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah sepertipuasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.
REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

Sunday, July 1, 2007

Kenali Bumi Ardil Kinanah

APAKAH KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN MESIR?

Sebanyak 30 tempat dalam al-quran menceritakan tentang peristiwa, Keagungan dan kelebihan bumi Mesir. Kisah Mesir terdapat dalam surah Yusof 21, 23, 30, 35, 67, 78, 99 dan 100. Surah Al-Qosos ayat 15, 20, 38, 71 dan 76, surah al-kahfi ayat 83, 86, 94 dan 96. Surah Toha ayat 12, 72, surah as-syura ayat 34, 37, 46 dan 48. Surah Al-Baqorah ayat 61, Surah Yunus ayat 86, Surah Maryam ayat 52,
Surah Ambiya' ayat 68, surah Mukminun ayat 50, Surah An-Naml ayat 61, Surah Ghofir ayat 28, surah AL-Zukhruf ayat 51, Surah Ad-Dhuhan ayat 25 dan 27, Surah Ar-Rahman ayat 19 dan 20 dan surah Al-Fajr ayat 7 dan 8.


Antara perkara-perkara yang menarik dan ajaib di Mesir yang tidak terdapat di tempat lain adalah:

Bukit Thur Sina'
Sungai Nil
Peristiwa Nabi Musa Di Sinai
Tempat lahirnya Nabi Musa, Nabi Harun dan Nabi Isa
Tempat pohon Maryam ketika membawa Nabi Isa
Piramid (salah satu benda ajaib dunia)
Tasik Qorun

Kelebihan Mesir juga banyak diriwayatkan dalam Hadis Rasulullah S.A.W antaranya: Empat sungai nil daripada sungai syurga iaitu:

1. Sungai Saihan
2. SungaiJihan
3. Sungai Nil
4. Sungai Furat

Apabila negara Mesir dibuka kepada kamu, maka jadikanlah padanya tentera yang kuat. Tentera Mesir adalah lebih kuat dari negara lain di dunia kerana mempunyai kubu-kubu pertahanan yang berterusan hingga hari kiamat.