Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 120-121
Maksudnya:
[120] Maka Syaitan pun membisikkan (hasutan) kepadanya, seraya berkata: Wahai Adam, mahukah engkau, aku tunjukkan kepadamu pohon yang (jika engkau makan buahnya) engkau akan hidup selama-lamanya, (lebih jauh dari itu engkau akan beroleh) kuasa yang tidak kunjung hilang atau lenyap?
[121] Akhirnya mereka berdua pun memakan dari pohon itu, lalu terserlah (terdedah) kepada mereka aurat masing-masing . Mereka segera menutupinya dengan daun-daun dari Syurga .Maka dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu ia terpedaya (menyasar dari jalan yang sebenarnya).
Dalam Surah al-An’am ayat 109-113 Allah berfirman:
وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُواْ بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ
وَلَوْ أَنَّنَا نَزَّلْنَا إِلَيْهِمُ الْمَلآئِكَةَ وَكَلَّمَهُمُ الْمَوْتَى وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَيْءٍ قُبُلاً مَّا كَانُواْ لِيُؤْمِنُواْ إِلاَّ أَن يَشَاء اللّهُ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نِبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاء رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
وَلِتَصْغَى إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُواْ مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ
Bermaksud:
[109] Mereka sungguh-sungguh bersumpah dengan nama Allah, bahawa seandainya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), mereka pasti akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
[110] Lalu Kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatan mereka dengan penuh kebingungan.
[111] Seandainya Kami turunkan malaikat pun kepada mereka dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka dan Kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).
[112] Demikianlah Kami jadikan bagi setiap orang Nabi itu musuh dari kalangan syaitan, manusia dan jin. Segolongan mereka (syaitan) membisikkan kepada segolongan yang lain kata-kata dusta yang indah dan muluk-muluk untuk memperdaya pendengarnya . Jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
[113] Biarkan sahaja agar hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu dan supaya disetujui oleh mereka dan juga supaya mereka (terus) melakukan (dosa) apa yang mereka lakukan itu.
Pendahuluan
UMNO adalah parti yang dibina atas dasar fahaman ke-Melayu-an. Fahaman yang berteraskan kepada konsep bangsa. Parti ini bertolak dari nuansa kebangsaan dalam pengertiannya yang masih samar dan bersifat umum. Meskipun ia menegaskan bangsa Melayu itu terdiri dari elemen bangsa, bahasa, agama, watan dan sejarah. Tetapi titik berat dalam hal ini ialah bangsa; ini adalah kerana bahasa, agama dan lain lain bukan asas yang boleh diketengahkan untuk mencorakkan faham dan nama parti itu. Bahkan UMNO tidak akan menjadi parti agama atau membenarkan agama menjadi alat atau nama parti. Sebab pada pandangan mereka sebelum ini agama Islam tidak boleh di bawa dalam lapangan politik atau sebaliknya. Ini sejajar dengan sejarah pembentukannya yang diperjuangkan oleh golongan yang berfaham kemelayuan dan liberal .
Walaupun pada peringkat awal terdapat golongan ilmuan agama atau alim ulama yang menyertainya namun dalam beberapa tahun dalam perkembangan umur parti itu sejarah merakamkan bagaimana sekumpulan ulama yang menyertainya tidak lagi yakin bahawa UMNO akan mengikut dan menobatkan dasar-dasar Islam yang sebenarnya. Oleh itu mereka akhirnya keluar beramai-ramai daripada UMNO dan membentuk Parti Islam Se Melaya atau
Se Malaysia kemudiannya.
Parti Melayu ini melandaskan tindakannya atas fahaman pragmatis atau kepentingan semasa tanpa merujuk secara literal dan khusus kepada asas dan nas agama. Mereka merujuk kepada kefahaman dan pertimbangan akal yang begitu longgar terikat dengan nilai syara’. Sebab itu pemimpin mereka pada suatu ketika menghalalkan loteri kebajikan masyarakat dan sanggup memikul dosa para pelanggan loteri itu. Pimpinan utama dalam parti ini adalah mereka yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan agama serta komitmen keagamaan yang mantap.
Atas dasar faham kebangsaan, patriotisme, materialisme dan pragmatisme mereka mendidik kader kader parti; baik peringkat orang dewasa mahupun golongan pemuda, remaja; putera dan puteri. Mereka menekankan unsur nasionalisme dan fahaman kebangsaan sempit dan menangkis hujah parti lawan mereka khasnya parti Islam dengan alasan ‘simple’ dan mudah dengan tidak menggunakan analisa ilmiah yang mendalam justeru mereka memang tidak memahami agama secara mendalam dan teguh. Sebab itu dalam memaparkan parti Islam di Malaysia sebagai lawan mereka di peringkat antara bangsa mereka dengan mudah dan bersahaja mengatakan bahawa parti Islam di Malaysia ialah parti konservatif, pelampau, memonopoli agama. Parti ini menurut presiden mereka berkempen dengan dakwaan bahawa siapa mengundi PAS akan masuk syurga.
Kenyataan ‘simplistic’ seperti ini membayangkan ‘mentality simple’ dan kefahaman agama yang tidak mendalam serta sifat tidak beriltizam dengan ajaran agama yang sebenarnya.
Kerana tindakan tindakan yang tidak beriltizam dengan agama dan tidak setuju dengan dasar politik yang berteraskan agama Islam maka gejala munkar dan maksiat merebak dalam UMNO. Dalam masa yang sama usaha mendangkalkan agama dilakukan secara berencana sehingga rakyat dan umat walaupun sudah berpuluh tahun merdeka tapi masih ramai yang buta agama. Sebagai contoh tenaga penguatkuasa halal haram di JAKIM hanya sekitar 6 orang untuk menyelesaikan masalah halal haram makanan umat Islam di seluruh Malaysia. Akibatnya makanan umat tidak terjaga dari sudut ini dan mereka terdedah kepada kemungkinan memakan bahan yang haram seperti usus babi dan sebagainya. Apabila kes-kes seperti ini dibongkar mereka akan mula menyalahkan orang lain , pihak pegawai dan sebagainya. Mereka lupa bahawa sebab utamanya ialah sikap sambil lewa dan tidak prihatin kepada halal haram agama yang menjadi sifat dan watak para pemimpin mereka. Dalam kes aurat sahajapun kita dapat melihat bahawa UMNO tidak mampu dan merasa tidak mampu untuk mewajibkan tata cara berpakaian yang bertamadun seperti yang dianjurkan oleh Islam kepada pegawai awam atau agensi agensi di bawah kelolaan mereka, justeru mereka tidak peka kepada tuntutan dan kewajipan syara’ tersebut. Ini terbayang dalam amalan isteri dan anak-anak mereka.
Dengan latarbelakang seperti di atas mereka tidak jemu-jemu mengajukan berbagai istilah untuk menggambarkan parti mereka adalah parti Islam. Sejak Program Bulan Dakwah yang bernyawa tidak lebih dari sebulan, sampailah kepada penerapan nilai Islam yang berakhir dengan penangkapan DSAI dan kini muncul suatu gagasan baru dari kumpulan nasionalist ini yang dinamakan Islam Hadhari. Bagaimanakah idea ini boleh muncul dan apakah motivasinya. Kita akan dapat memahaminya dengan mengikut beberapa penjelasan dari tokoh besar dan pemikir slogan ini dari kalangan mereka..
Idea dan Slogan Islam Hadhari
Dalam menghadapi parti Islam PAS sebagai parti lawannya UMNO sedar bahawa Islam adalah agama yang benar dan menyeluruh. Islam mempunyai pengaruh yang besar kepada bangsa Melayu dan umat Islam khasnya di Malaysia. Oleh itu mereka perlu memanfaatkan atau eksploit faktor ini dan melemahkan pengaruh parti Islam dengan memburuk-burukkan parti berkenaan dan menunjukkan bahawa parti mereka juga adalah parti Islam progressive dan sederhana. Sebaliknya PAS adalah parti pelampau , memperalatkan agama dan membolot agama serta merasuah rakyat dengan syurga.
Tidak cukup dengan mereka menguasai dan merampas institusi agama , sekolah, madrasah, masjid dan sebagainya untuk memperalat institusi tersebut agar hanya menyokong faham kebangsaan yang mereka taja dan membentuk masyarakat dalam kepompong ajaran Melayu, sebaliknya mereka berusaha menampilkan sesuatu yang seakan-akan Islam agar mendapat sokongan umat Islam. Sebab itu mereka tampilkan slogan Islam Hadhari untuk mencapai matlamat berkenaan.
Menurut Ust. Abdul Hadi Awang :
“Tindakan mereka seterusnya ialah dengan mengemukakan program Islamisasi. Di bawah program ini beberapa ajaran Islam dilaksanakan dengan memilih aspek-aspek ekonomi dan politik yang menguntungkan . Bukannya Islam yang menyeluruh. Perlaksanaan ajaran Islam seperti perbankan Islam , juga menubuhkan institusi-institusi Islam adalah baik; tetap dialu-alukan dan kita memberi sokongan dan dokongan dalam perkara ini , tetapi apa yang kita harapkan ialah asas seluruh ajaran Islam hendaklah juga dilaksanakan. Ini disebabkan tiap-tiap aspek ajaran Islam adalah rangkaian yang tidak boleh diputuskan”
“Yang paling mutakhir dalam usaha meeka menghalang laluan Islam ialah dengan menonjolkan program Islam Hadhari. Islam Hadhari adalah kata saduran yang begitu indah bunyinya , tetapi apa yang tersirat adalah begitu beracun . Hanya segelintir yang menyedari betapa bahayanya slogan ini . Paling merbahaya lagi istilah dan slogan ini telah dilindungi dan dihiasi sama oleh segelintir ulama suu’ (jahat) melalui kenyataan-kenyataan mereka yang dibuat secara sedar atau tidak sedar, tetapi bersedia untuk menjadi alat musuh Islam.”
Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai Islam Hadhari ini barangkali wajar kita menelaah ucapan-ucapan Dato’ Abdullah Badawi yang pernah menyentuh perkara ini.
Dalam ucapan beliau di Jamia Millia Islamia, Delhi 22/12/2004
beliau menyatakan( terjemahannya seperti berikut):
“Sejak dua dekad lalu, kita telah melihat kebangkitan segera pergerakan Islamis. Ketika mana banyak daripadanya bersifat bukan politik dan lebih tertumpu kepada aktiviti sosial, banyak juga yang bersifat politik dan menyertai kerangka politik yang sah di negara masing-masing; dan mereka telah menjadi sinonim dengan apa yang dirujuk sebagai Islam politik. Mereka menyertai politik, tetapi matlamat yang mereka impikan adalah amat berbeza daripada sistem politik dan demokrasi berpenyertaan rakyat dalam sebuah masyarakat majmuk. “
Maksudnya beliau meragui matlamat dan semangat golongan Islamis. Beliau tidak yakin kepada perjuangan parti Islam yang dipimpin oleh alim ulama di negaranya. Seterusnya beliau menegaskan:
”Di negara saya, Parti Islam Se-Malaysia, yang lebih dikenali sebagai Pas, sebuah parti pembangkang telah mempolitikkan agama sampai ke tahap mendakwa ia memonopoli Islam. Mereka berusaha mendapatkan undi dengan menyatakan kepada orang kampung bahawa mereka dijamin memasuki syurga sekiranya mengundi Pas.
Dalam ucapan perasmian Persidangan Agong UMNO di PWTC 23/9/04 beliau mengatakan :
“Keputusan pilihanraya memperlihatkan bahawa pendekatan progresif dan amalan sederhana berjaya mengalahkan ideologi konservatif dan amalan ekstremisme. Keputusan pilihanraya meyakinkan kita bahawa dalam menghadapi diayah PAS, kita tidak perlu mengubah falsafah – kita tidak perlu mengubah kaedah perjuangan – kita tidak harus latah. Kita sama sekali tidak harus terperangkap dengan cara perjuangan mereka. Kita tidak perlu terikut-ikut dengan muslihat memperalatkan agama. Yakinlah! cahaya kebenaran, tidak mungkin terlindung selama-lamanya oleh kabus kepalsuan.”
Ertinya beliau menganggap perjuangan di atas landasan Islam adalah suatu kepalsuan manakala perjuangan atas dasar bangsa seperti yang dilakukan oleh UMNO adalah kebenaran.
Beliau juga menegaskan lagi:
Bukannya budaya UMNO untuk bermain dengan agama. UMNO tidak pernah membenarkan agama dijadikan alat. UMNO menentang tegas agama dipolitikkan.
Maksud ucapan itu ialah bahawa: UMNO tidak akan menjadikan agama landasan atau nama partinya kerana itu bermakna memperalatkan agama. Umno tidak akan mengubah falsafah dan teras perjuangannya berlandaskan kebangsaan. Sebab itu asas yang keramat dan tidak boleh ditukarganti walaupun dengan Islam
Setelah mengutip firman Allah tentang amanah dalam surah al Ahzab 72 beliau menyimpulkan :
“Setiap seorang saudara-saudari hari ini memegang amanah – amanah dari ahli parti – amanah bangsa.
“Agenda Melayu adalah asas perjuangan kita. Agenda yang harus diperjuangkan secara berterusan.”
Ucapan perasmian ini jelas menegaskan bahawa dasar UMNO adalah faham Kebangsaan Melayu dan bukan dasar Islam. Islam hanya sebagai elemen pelengkap sampingan.
Dalam rangka untuk mengalahkan PAS bagi beliau Islam Hadhari boleh digunakan sebagai matlamat jarak dekat. Tapi Islam Hadhari mempunyai matlamat jarak jauh seperti yang dilakarkan. Sebagai resepi untuk mengalahkan golongan Islamist pendekatan seperti yang diamalkan di Malaysia ini boleh diikuti oleh orang-orang India. Perhatikan petikan ucapan beliau di India seterusnya:
“sebahagian dalam parti saya berpendapat bahawa kami perlu menjadi lebih Islamis daripada pembangkang, walaupun parti saya secara terbuka berpegang pada Islam inklusif dan progresif. Ini tentunya merupakan satu permainan berbahaya berbentuk sikap mahu melebihi pesaing dengan apa cara sekalipun. Ketika mana pilihan politik di Malaysia adalah kira-kira dipengaruhi oleh isu keagamaan, apa yang lebih penting kepada pengundi ialah isu mengenai urus tadbir yang baik dan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh”.
Seterusnya setelah menyatakan beliau kononnya telah pun melaksanakan reformasi dalam beberapa bidang beliau menegaskan:
“Dengan limpah kurnia Allah, para pengundi memberi sambutan. Tahun ini, parti saya kembali berkuasa dengan mendapat majoriti paling besar sejak negara mencapai kemerdekaan. Kami berupaya memenangi negeri yang kami kalah pada tahun 1999. Kami telah menunjukkan bahawa kami boleh menolak kembali golongan Islamis, bukan dengan menghadapinya dalam persaingan `siapa lebih suci' tetapi dengan menyelesaikan punca akar kemarahan dan kekecewaan. Saya menyatakan kepada anda, bahawa isu yang kami hadapi adalah sama di banyak negara Islam. Sekiranya anda berhadapan dan menyelesaikan isu-isu itu, anda akan mengatasi golongan Islamis ini dalam suatu pertandingan demokratik.”
Maksud beliau golongan sekular dan nasionalist di India boleh menolak golongan Islamist dan mengalahkan mereka bukan dengan dialog keilmuan dan berasaskan agama serta mencari kejernihan sumber agama itu sendiri seperti mana yang dituntut tetapi sekadar menyelesaikan masalah sosio-politik yang menjadi rungutan orang ramai seperti soal ekonomi , pembangunan dan sebagainya. Maknanya beliau tidak bersedia untuk mencari penyelesaian berdasarkan ilmu dan hakikat agama itu sendiri.
Untuk menjustifikasikan kebenaran Islam Hadhari sebagai dasar UMNO berbagai penulisan dan kenyataan telah dibuat ; baik oleh pemimpin utama parti mahupun pemimpin bawahan . Kenyataan itu saling bertentangan antara satu sama lain. Ini kerana pihak yang melakarkan draf awalnya berbeda dan kadangkala tidak sehaluan.
Walaupun memang jelas dasar parti Melayu itu ialah faham kebangsaan yang menolak Islam untuk dijadikan dasar (nama) parti ; seperti yang ditegaskan oleh presidennya; namun yang hendak ditegaskan adalah sebaliknya. Mereka mahu menegaskan bahawa parti itu adalah berteraskan Islam , membela Islam dan mahu merealisasi tamadun Islam.
Dalam konteks ini mereka menggunakan beberapa program seperti bulan Dakwah, penerapan nilai Islam, dan akhirnya Islam Hadhari untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah parti Islam tulen. Dalam rangka menyatakan sejarah kelahiran idea Islam Hadhari ini seorang Ustaz yang menjadi pemimpin Biro Agama pemuda umno menegaskan:
“Sebenarnya idea gagasan Islam Hadhari ini wujud sejak tahun 2001 lagi di mana pada masa itu Biro Agama dipengerusikan oleh Dato’ Hamid Othman dan saya salah seorang panel yang terlibat. Sebenarnya Islam Hadhari ini dapat dijelaskan bahawa Hadhari itu adalah salah satu sifat Islam. Menonjolkan istilah Hadhari itu adalah untuk menonjolkan sifat Islam itu yang sebenarnya dan juga menjelaskan kekeliruan terhadap Islam pada masa ini. Islam kini dilabel sabagai keganasan, kemunduran, kemiskinan, dan segala yang buruk adalah Islam walhal sebaliknya. Apabila Perdana Menteri kita yang bertanggungjawab sebagai ‘Hakim’ atau pemerintah melakukan ijtihadnya bahawa kita sebagai sebuah Negara Islam perlu menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan, dan terbilang. Umat Islam perlu menjadi umat yang terbilang. Maka untuk menonjolkan wawasan tersebut maka satu ungkapan Islam Hadhari diwujudkan sebagai penyelesaian terhadap salah faham terhadap Islam itu sendiri.”
Tapi penyokong mereka yang totok malah menyatakan sebaliknya. Mereka mengatakan perkara ini telah lama wujud dan diamalkan oleh pemimpin UMNO yang lebih awal , malah juga Hasan Al Banna dan leluhur Islam silam .
Seorang pendokong Umno dan temannya Hashim Yaacob Naib Canselor, Universiti Malaya dan Mohd. Nawi bin Haji Ismail mengatakan:
“Islam Hadhari Diperjuangkan oleh Tokoh Islam Semasa .Bermula dari Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Ridha seterusnya pemikir-pemikir Islam semasa seperti Hassan al-Banna menganuti kefahaman seperti di atas dan menjadikan Islam sederhana (wasat) sebagai teras perjuangan mereka. Kefahaman perjuangan mereka yang bercampur baur dengan bidaah dan khurafat ditolak sama sekali. Menurut mereka bidaah dan khurafat inilah yang menyekat kemajuan umat Islam menjadi setanding dengan Barat, malah mereka menyokong masyarakat Islam mengambil dan mempelajari bagaimana orang Barat boleh maju. Jika Islam tidak ditafsir secara sempit sudah tentu umat Islam tidak akan meninggalkan ilmu sains dan teknologi yang terkenalpasti antara sumber kekuatan Barat pada masa kini.
Pendekatan Islam Hadhari memang menjadi anutan umat Islam pada zaman awal, tetapi ia diselewengkan sehingga memberi kesan dalam politik umat Islam hingga terlantik pemimpin yang tidak layak memimpin umat Islam, yang tidak mempunyai kekuatan kefahaman pendidikan akhlak dan agama serta tidak mempunyai roh jihad dan kemampuan berijtihad.
Dalam masa yang sama Dr Mashitah mempunyai kesedaran yang sebaliknya.Dr berkenaan menegaskan bahawa Islam Hadhari ini adalah gagasan kerajaan Malaysia .
Dalam menjawab soalan wawancara : Perlu atau tidak dalam konsep Islam Hadhari undang-undang syariah diangkat martabatnya setaraf atau lebih daripada undang-undang sivil?
Dr. Mashitah menjawab:
”Satu soalan yang cukup baik, ini kerana keperluan untuk menaiktarafkan undang-undang syariah di Malaysia perlu dijalankan dengan mengambil kesempatan pada konsep Islam Hadhari yang telah digagaskan oleh kerajaan.”
Umumnya usaha untuk mengukuhkan aliran progressive atau moderate muslim ini sedang giat diusahakan dalam kebanyakkan Negara umat Islam; khasnya di dua buah negara; Indonesia dan Malaysia . Menurut Marwaan Macan-Markar wartawan Asia Times Online yang terkenal dengan aliran memomokkan Islam:
“But elsewhere too, voices of moderation have been on the march in an attempt to reclaim the ideological ground they have partially lost to extremists. The work this year by groups such as the Liberal Islam Network, the Center for Moderate Muslims and the Center for Islam and Pluralism in Indonesia convey this trend.
Marry Huhtala (deputy assistant secretary of state for East Asian and Pacific affairs, Department of State U.S. dalam wawancara di Washington DC, menegaskan :
And he (Abdullah Badawi) has used the occasion of being in the chair to enunciate this new idea of Islam Hadari, which translated is "civilizational Islam." Clearly, it's a more moderate view of Islam in the context of a civil society. And he's created this Council of Eminent Persons within OIC to talk about this concept and to spread it through the region. Now, that's quite powerful, you know. I don't know if he'll get anywhere, but it's very encouraging that, you know, he's trying to do that.:
Dari sudut yang lain seorang penulis Khoo Boo Teik berpendapat:
Whether or not that’s true, Islam Hadhari was politically ‘new’ in at least three ways.
First, Islam Hadhari replaced, or was seen to replace, Dr Mahathir’s Islamisation policies that had worn rather thin during the 1998–99 crisis.
Second, Islam Hadhari offered a ‘moderate’ and ‘progressive’ Islam in a time of heightened global suspicion of anything ‘Islamist’.
And, third, with Malaysia presiding over the Organization of the Islamic Conference, Islam Hadhari allowed Abdullah to internationalise UMNO’s religious credentials beyond their former association with only national development.
Tapi dalam masa yang sama beliau mempersoalkan adakah Islam Hadhari akan memperakukan undang-undang zalim ISA dan tindakan yang tidak adil dan demokratik yang diamalkan oleh UMNO sekarang. Beliau menambah kata:
Yet the UMNO General Assembly spent little time clarifying many social and political implications of implementing Islam Hadhari.
For example, does Islam Hadhari condone the use of the Internal Security Act, the Sedition Act and the Official Secrets Act? Does the ‘moderation’ impled in Islam Hadhari mean the government will be ‘progressive’ in respecting civil liberties and human rights at home when around the world people have been repelled by the Abu Ghraib torture of untried prisoners?
Definisi Islam Hadhari
Walaupun ungkapan ini dalam bahasa arab agak langka digunakan kerana kejanggalannya namun penggunaannya membawa makna “Islam Civilizational” atau Islam berketamadunan atau Islam bertamadun. Ini bermakna ada dua jenis Islam. Islam bertamadun dan Islam yang tidak bertamadun. Islam yang dibawa oleh Allah ialah Islam yang serba rahmat dan rahmat sudah pasti hanya satu sahaja. Berdasarkan ayat 19 Surah Ali Imran:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ الإِسْلاَمُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ إِلاَّ مِن بَعْدِ مَا جَاءهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللّهِ فَإِنَّ اللّهِ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya :
“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam, Tiadalah berselisih ahli-ahli kitab melainkan setelah datang ilmu kepada mereka, kerana berdengkian sesamanya. Barang siapa yang kafir akan ayat-ayat Allah, maka ssungguhnya Allah bersegera menghisabnya”
Bertamadun atau tidak adalah sifat manusia. Manusia itu sendiri yang bersifat bertamadun atau tidak. Manakala Islam agama Allah adalah semata-mata rahmat dan semata-mata nikmat. Allah berfirman dalam Surah Al-Anbia ayat 107:
Takrif Jakim
Menurut Jakim, Islam hadhari ialah :
“Suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam”.
Sebagai huraian kepada takrif di atas bahawa :
i. Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh berbanding pendekatan Islam secara juzi’e atau terpisah-pisah seperti Islam bersifat politik “al-Islam al-Siyasi”, Islam bersifat tasawwuf “al-Islam al-Sufi” dan seumpamanya.
ii. Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang membawa fokus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya materialisme, krisis identity, jati diri serta penjajahan pemikiran.
iii. Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup, sistem nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada pembinaan tamadun yang luhur.
Definisi Islam hadhari seperti di atas menunjukkan bahawa terdapat apa yang disebut sebagai perspektif tamadun Islam menjadi teras kepada pembangunan tersebut. Perspektif ini dalam konteks Malaysia bermula dengan perlaksanaannya oleh parti nasionalis Melayu yang tidak akan berpolitik atas landasan Islam dan tidak akan membiarkan Islam diperjuangkan sebagai nama kumpulan yang mahu menegakkan asas tamadun Islam itu.
Ia juga menegaskan bahawa apa yang dipanggil perspektif tamadun Islam akan menjadi rujukan asas dan bukan asas ajaran Islam yang lumrah diikuti dan dipatuhi oleh umat Islam selama ini seperti quran, hadith, ijma’ dan qias. Asas-asas tersebut ternyata masih samar dan longgar untuk diikuti oleh masyarakat.
Matlamat Islam Hadhari
Dalam draf asal kertas kerja Islam Hadhari Jabatan Perdana Menteri dinyatakan bahawa tujuan keempat rancangan ini ialah untuk mempastikan para pegawai kerajaan dan orang ramai akan menjadi penyokong kuat kerajaan BN dan UMNO. Namun dalam kenyataan rasmi berikutnya perkara berkenaan tidak lagi dizahirkan memandangkan ia mengundang kontroversi. Justeru kewangan awam akan digunakan untuk melahirkan kader dan pendokong parti UMNO dan BN. Ini bertentangan dengan etika, undang-undang dan sifat kerajaan yang telus. Jadi untuk mengelakkan kemungkinan itu tujuan tersebut ditiadakan.
Selaras dengan itu presiden UMNO menegaskan bahawa Islam Hadhari ialah untuk mencapai 10 matlamat berikut:
1. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI
2. Kerajaan adil dan beramanah
3. Rakyat berjiwa merdeka
4. Penguasaan ilmu pengetahuan
5. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
6. Kehidupan berkualiti
7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
8. Keutuhan budaya dan moral
9. Pemeliharaan alam semula jadi
10. Kekuatan pertahanan
Ulasan Kita
Pada zahirnya matlamat ini tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam. Namun jika diteliti secara lebih halus kita akan tertanya-tanya. Bagaimana UMNO mahu meraih keimanan kepada Islam dengan melenyapkan dimensi politik agama berkenaan. Islam adalah agama yang syumul dan komprehensif mengandungi seluruh aspek kehidupan. Salah satu dari aspeknya ialah politik. Umat Islam mesti dan wajib berpolitik berlandaskan Islam. Tapi apabila UMNO menggugurkan politik Islam dari pegangan dan amalannya tidakkah itu bermakna ia telah meninggalkan sebahagian agama dan mengambil sebahagian yang lain.
Golongan Islamist seperti mana yang diungkapkan sendiri oleh Presiden UMNO adalah di luar UMNO. Para pemimpin UMNO tidak bersetuju dan tidak akan merelakan parti Islam atau Islamist memerintah negara ini, tidakkah perkara ini suatu yang aneh dan lebih aneh lagi parti nasionalist mendakwa bahawa parti mereka sebagai parti Islam moderate atau progressive. Bak kata seorang penulis ibarat parti yang berfaham Sosialis mahu mendakwa bahawa ia adalah parti Kapitalis. Memang ajaib dan aneh.
Mengenai matlamat kedua kita memang berkerja keras untuk mereformasikan politik Negara ini menjadi politik yang adil dan saksama. Sebab itu kita menuntut Fair Playing Field dalam pilihanraya, dalam memiliki media massa, dalam buku daftar pengundi, dalam kehakiman , peranan polis, layanan biasiswa, agihan peruntukan pembangunan, dalam penambahan kerusi parlimen untuk negeri Kedah dan Kelantan dan sebagainya. Namun tuntutan itu belum ada tanda untuk dilayan dibetulkan. Di manakah keadilan yang dikatakan itu. Apakah cukup rakyat hanya disuap dengan janji-janji kosong dan dengan perkataan yang muluk-muluk.
Rakyat yang berjiwa merdeka dalam takrif dan pengertian yang tidak bercanggah dengan syara’ adalah suatu tuntutan yang pernah kita suarakan. Walaupun Islam lebih menekankan aspek kepatuhan dan keta’atan kepada Allah namun Islam juga mahu memerdekan manusia dari belenggu perhambaan kepada kuasa batil yang menghakis taraf manusia sebagai insan dan makhluk yang bermaruah. Islam mahu membebaskan manusia dari belenggu jahiliah dan faham sekularisme, materialisme dan nasionalisme totok.
Apa yang kita lihat dari program dan akta-akta dan hala tujuan BN ialah menghakis kebebasan rakyat dengan Aku Janji yang mengikat mereka agar menjadi hanya penyokong parti BN dan Umno. Para pelajar di ugut bahawa biasiswa mereka akan diragut kalau memihak kepada parti pembangkang dan berbagai lagi masuk campur dalam pilihanraya kampus untuk menafikan hak demokratik mahasiswa reformis yang kritis.
Kontraktor diugut akan disenarai hitamkan kalau menyokong parti lain. Mereka mengamalkan dasar tidak mahu menerima pembangkang dengan memperoklamirkan dasar pembangkang sifar, Islam sifar dan BN sendiri akan memainkan peranan pembangkang sebagai lakonan dan sandiwara.
Kes Dato Seri Anuar Ibrahim adalah jelas memaparkan bagaimana ketidakadilan UMNO terhadap bekas Timbalan Presiden mereka sendiri. Petisyen pembangkang tentang salahlaku BN dalam pilihanraya tidak ada satupun yang lekat. Penggunaan jentera kerajaan dan pegawai awam serta media massa oleh BN terhadap parti lawan tidak sedikitpun dikurangi atau dibetulkan. Cekikan kerajaan Umno BN terhadap media massa begitu kemas melalui tiga wahana penting seperti yang dijelaskan oleh Dr Syed Husin Ali. Bagaimana kerajaan boleh menjanjikan lagi keadilan dalam Islam Hadhari.
Penguasaan ilmu pengetahuan adalah matlamat murni yang diperjuangkan oleh semua golongan. Namun apa yang terpampang dihadapan mata kita ialah penafian keilmuan orang yang berilmu kerana tidak sehaluan dengan UMNO atau BN. Ramai para alim ulama dan bijak pandai Islam yang dihalang dari memberikan khutbah dan pengajian di surau dan masjid di mana orang-orang umno menguasai institusi berkenaan .
Puluhan ribu mahasiswa menganggur dan 50 ribu kontraktor yang tenat kerana tidak mendapat projek manakala bilangan nilai saham yang menurun lebih banyak dari yang melonjak naik membayangkan keadaan ekonomi Malaysia yang tidak sihat dan seimbang sejak setahun PM sekarang memerintah. Menurut seorang penulis :
“There are many aspects where Malaysian economy is unbalanced and lacking eg Agriculture which cannot produce the country's need for food; over-reliance on foreign investments compared to cultivation of local expertise and technology; growth oriented economy which disrupt communities and ecology; cronyism and monopolies which cripple free and fair competition etc etc. Is Islam Hadhari suggesting any remedies ? If there is none then Islam Hadhari risk becoming another `work hard' moral exhortation which is a tried and failed method to encourage the workers and to improve productivity without getting anything back; Only a system which reward the hardworking and smart working will succeed in encouraging the people to unleash their working capacities and talents; Is Islam Hadhari ready to get rid of cronyism and nepotism in government to do these ? Is Islam Hadhari union friendly so as to secure reasonable working rewards and conditions for the workers ?”
Mengenai matlamat kehidupan yang berkualiti kita melihat projek rumah mahal untuk 12 orang EXCO Selangor menunjukkan kadar pembaziran untuk orang yang berada . Ini membayangkan pengurusan kewangan rakyat yang tidak berkualiti. Dalam tulisan yang mengandungi kritikan jitu dan pedas terhadap PM seorang pengkritik politik baru-baru ini menegaskan:
” Pada hari Sabtu lalu di Kuala Terengganu Pak Lah telah mengumumkan pembinaan ISLAMIC CIVILISATION THEME PARK, yang dijangka siap dalam tempoh 3 tahun. Kerajaan akan melantik pakar perunding dan para artisan yang pernah bekerja untuk taman tema bertaraf antarabangsa seperti Movie World dan Sea World di Australia dan Disnelyland Tokyo bagi merealisasikan matlamat penubuhan taman berkenaan. Taman ini yang terletak di Pulau Pak Man berhampiran Pulau Duyong akan dipenuhi dengan binaan 21 replika bangunan dan monument bersejarah Islam termasuklah masjid-masjid terkenal diseluruh dunia. Juga akan dibina sebuah MASJID KACA KRISTAL TERAPUNG di atas Sungai Terengganu!
Belanjanya RM200 juta! Tidakkah ini satu pembaziran besar khususnya bagi rakyat Terengganu. Apa gunanya dibina replika 21 masjid sedangkan masjid-masjid di Terengganu pun dhaif-dhaif belaka? Apa gunanya masjid terapung dari kaca kiranya rakyat Terengganu kebanyakkannya sengsara menderita tidak memiliki rumah sendiri?
Sedangkan dengan RM200 juta boleh membina sehingga 8,000 buah rumah untuk rakyat termiskin kiranya kos pembinaan rumah tersebut sekitar RM25,000 sebuah
Mengenai matlamat pembelaan terhadap hak golongan minority dan kaum wanita kita dapati janji ini adalah menggiurkan. Tapi setelah berpuluh tahun memerintah dan membuat janji kita dapati UMNO malah tidak membela hak majoriti bangsa Melayu dan Islam di Kedah dan Kelantan yang sepatutnya mendapat peruntukan kerusi parlimen sejajar dengan nisbah pertumbuhan penduduk di kedua-dua buah negeri berkenaan. Padahal Johor dan Sabah mendapat peruntukan berkenaan. Ramainya golongan merengkok di penjara dan mendapat penghakiman atas dosa apakah mereka ditangkap adalah bukti nyata bahawa UMNO dan BN kini bukan pembela bangsa atau rakyat.
Kedudukan moral dan budaya umat kini amat tergugat dan semakin parah dengan gejala maksiat . Para penentang penguatkuasaan syara’ serta undang-undang yang ingin menghalang gejala berkenaan.semakin ramai dan galak. Mereka terdiri dari anak-anak tokoh pemimpin negara dari kalangan UMNO.Menurut Dr Syed Husin Ali T.Presiden PKR:
“BN semasa Dr. Mahathir banyak menggunakan wang rakyat secara membazir. Banyak projek-projek mega yang tidak banyak manfaat kepada rakyat dibuat. Hasil kekayaan negara, sumber daripada petroleum yang berjumlah 350 billion lesap cuma tinggal 50 billion sahaja. Mengikut beliau, kalau wang sebanyak itu digunakan untuk
kepentingan rakyat, sudah tentu banyak rumah-rumah untuk golongan miskin dapat didirikan. Dan semua rakyat yang miskin boleh mendapat pendidikan percuma
hingga ke peringkat universiti. Tidak perlu berhutang kepada PTPTN.”
Matlamat pemeliharaan alam semula jadi dalam kerakusan para pemimpin UMNO dan BN untuk mengaut keuntungan meteri tidak dapat dipertahankan. Kenyataan muluk dan bermadu boleh sahaja dirakamkan dan ditulis dengan tinta mas, namun apa yang berlaku di sebalik janji-janji bermadu itu adalah penggondolan dan pembugaran hutan simpan dan kawasan tadahan air hujan. Sandiwara penguatkuasaan dilakonkan dengan baik apabila ada kritikan dan kemarahan rakyat diluahkan, namun penjarah sebenarnya tetap utuh dan selamat dari tindakan undang-undang. Ini kerana mereka kroni UMNO. Sebab itu kedudukan Malaysia dalam Indeks Negara pengamal rasuah jatuh lagi dua mata selepas berada ditangga 34.
Mengenai matlamat keutuhan pertahanan maka kita dapati dengan kelemahan pimpinn UMNO dan BN yang ketara akan menyebabkan pertahanan Negara semakin rapuh dan tidak bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan. Dengan contoh komitmen Islam yang cacat dan herot , di samping amalan pemerintahan yang rasuah dan korup , pembaziran terhadap harta awam dan mementingkan muslihat kroni dan sebagainya sudah tentu persiapan pertahanan dalaman seperti akidah yang utuh dan pegangan syariat yang kental serta disiplin diri yang kuat dan mutu moral yang tinggi tidak dapat dicapai. Kelemahan dalam pembangunan manusia akan membawa kelemahan dalam pembangun kebendaan dan prasarana penting dalam Negara kita. Manakala trend kediktatoran dalam UMNO yang dilakarkan dengan jelas oleh sdr. Zukri Aksah tentu akan lebih merapohkan lagi amalan demokrasi di Negara kita.
Penutup
Huraian mengenai rekod UMNO dan BN yang korup ini akan terlalu panjang untuk direntang dalam kesempatan ini. Kalau reformasi seperti yang dituntut oleh rakyat dapat dilakukan oleh mereka tentu mereka sudah lakukan setelah sekian lama memerintah tapi apa yang jelas UMNO dan BN tidak dapat keluar dari kepompong lamanya yang sangat korup dan menyimpang dari lunas demokrasi dan dasar akhlak Islam yang sebenar. Kualiti dan rekod buruk kepimpinan mereka dalam segenap peringkat tidak akan membenarkan perubahan dan reformasi seperti mana yang mereka sebut dan janjikan. SPR, JPN, Insititusi Kehakiman , Polis dan sebagainya adalah alat mereka melanjutkan kuasa walau dengan apa cara sekalipun. Watak ini sudah mendarah daging dan tidak mungkin dapat dirubah oleh seorang PM walau bagaimana bersihnya PM itu. Pengalaman Dato Sri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan perdana Menteri dan Ketua Jawatankuasa Disiplin UMNO untuk membuat perubahan dan menentang rasuah dari dalam adalah bukti yang nyata tentang itu. Dalam masa yang sama Dr. Mahatir Mantan PM Malaysia yang hebat pun pernah menyatakan kegagalannya dalam memimpin dan merubah UMNO dan bangsa Melayu. Jadi apakah PM sekarang berupaya berbuat sebaliknya.
Pada hakikatnya :
“Islam Hadhari adalah salah satu daripada perkara yang boleh dimasukkan ke dalam perbuatan bid’ah dan boleh menyesatkan. Ini disebabkan ia boleh dikira mewujudkan Islam dalam bentuk baru dengan hanya menggunakan perkataan Islam, dan beramal dengan sebahagian ajaran Islam, dan mengingkari sebahagian yang lain. Dalam masa yang sama Islam Hadhari dicemari dengan perkara-perkara yang menyanggah ajaran Islam dalam mengendalikan urusan politik dan pentadbiran seperti politik wang, rasuah, menyalahgunakan kuasa, menentang hukum Allah secara berterangan dan lain-lain. Dalam urusan ekonomi pula mereka masih meneruskan muamalah riba, mengeluarkan lessen bagi kegiatan maksiat, amalan monopoli oleh golongan tertentu dan lain-lain. Manakala aspek hiburan pula mereka lakukan apa sahaja dengan merentasi batas-batas agama”
“Islam Hadhari yang mahu mencampuradukkan hak dan batil, iman dan kufur, Islam dan jahiliyyah, makruf dan mungkar, adil dan zalim, halal dan haram adalah satu rekaan (dibaca bid’ah) terhadap Islam.”
Kalaupun Islam Hadhari membawa hasrat murni PAK LAH sekalipun namun gerembolan di sekeliling beliau yang berbagai aliran kepentingan dan hala tuju tidak akan bersedia menerima trend Islam Hadhari yang menguatkuasakan undang-undang moral dan agama. Malah keluarga terdekat beliau tidak akan bersetuju dengan aliran kembali kepada Islam sepertimana yang diajar oleh Rasulullah dan alim ulama muktabar. Malah kalangan yang berkepentingan di luar Negara pun masih meragui dan takut dengan Islam Hadhari Pak Lah. Akhirnya politikus Melayu UMNO akan mencipta ajaran Islam baru yang longgar dan liberal dan mereka akan beri nama baru selain dari hadhari dan progressive untuk menyedapkan hati rakyat muslim terbanyak ketika itu sehingga mereka berjaya melemahkan dan mengurangkan bilangan dan parti Islam barulah golongan itu akan berhenti bercakap mengenai Islam kerana pengaruh Islam dan kedudukan pengikut Islam yang sejati sudah pupus dan tiada lagi. Ketika itu tiada politikus Melayu yang akan menampilkan projek bernuansa agama kerana itu bukan perkara penting lagi dan tidak mendesak, sementelahan pula sudah hapus pengaruh parti Islam untuk menggugat kedudukan parti manusia muslim liberal yang sekular itu di Malaysia..
Islam yang diturunkan oleh Allah hanyalah satu. Musuh-musuh Allah mahu menggambarkan Islam dalam pelbagai jenama untuk memusnahkan Islam dari dalam. Mereka menggambarkan Islam berpecah kepada : politik Islam atau Islam Politik, Islam Progressive, Islam Libral , Islam Fundementalist, Islam Traditionalist dan berbagai lagi dan kemudian memaksa umat Islam agar masuk dalam salah satu kotak-kotak ciptaan ini agar mereka berpecah belah dan kalah serta musnah. Mana-mana umat yang terjebak dalam kancah ini dan terus fanatic dengan istilah dan acuan baru yang mereka cipta tentulah akan merana di dunia dan di akhirat.
Sebab itu Allah berfirman dalam Surah al Baqarah 208:
Maksudnya :
“Hai orang-orang yang beriman masuklah kalian dalam (agama) kedamaian (Islam) seluruhnya dan janganlah kalian menurut jejak langkah syaitan, justeru syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.”
Dalam Surah al –Nur 21 Allah berfirman lagi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَا مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَاء وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya :
“Hai orang-orang yang beriman jangan kalian turuti jejak-langkah syaitan. Siapa yang mahu ikut jejak langkah syaitan sebenarnya syaitan menyuruh manusia berbuat kebejatan dan perkara yang mungkar. Kalaulah tidak kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kalian nescaya tiada siapapun dari kalangan kalian yang akan disucikan (dimurnikan jiwanya). Akan tetapi Alah memurnikan (jiwa) siapa yang Ia mahu . Memang Allah maha mendengar lagi maha mengetahui.”