Saturday, December 8, 2007

AKHLAK & DISIPLIN DI DALAM HARAKAH ISLAMIAH

Oleh : Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang

Muqaddimah

Kemantapan sebuah Harakah Islamiah berhubung erat dengan keteguhan aqidah atau prinsip perjuangannya dan keteguhan pegangan ahlinya di semua peringkat terhadap aqidah dan prinsip itu sehingga membuahkan wala’ dan melengkapkan diri dengan akhlak dan disiplinnya.

Perlu difahami bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar dan prinsip yang sebenarnya tanpa membina peribadi dengan akhlak berjamaah, oleh itu di bawah ini dikemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk dijadikan perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berjamaah

Supaya perjuangan kita diterima, direstui oleh Allah SWT dan mendapat pertolongan daripada-Nya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas

Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaan-Nya dengan menegakkan agama-Nya sehingga didaulatkan.

Abu Musa Al Ashaari menceritakan: Seorang Arab Badwi datang menemui Rasullah, dia berkata:

“Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahu disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah? Sabda Rasulullah: Sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.”

Ini bermaksud perjuangan menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihan raya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah, maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati dari sifat-sifat yang menrosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya yang bermaksud:

“Maka kamu mestilah istiqamah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu”. (Yunus : 189)

Apabila Abu Sufian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw:

“Katakan kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya seseorang yang lain darimu. Sabda Rasulullah: Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.”

Para rasul dan sahabat adalah orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah sangat penting dan mestilah berterusan, kerana ia adalah tonggak dan cara untuk mendapat pertolongan Allah, bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya sia-sia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan.”

Taat

Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah, maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

Rasulullah telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.

Di dalam Bai’ah itu Rasulullah bersabda:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku.”

Ketaatan Yang Dituntut

a) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

b) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

c) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’

Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.

Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman Allah, maksudnya:

“Sesungguhnya wali kamu ialah Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’”

(al Maidah : 55)

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah (PAS)

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan

Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada Allah dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.

Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada Allah dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadith yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

b) Wala’ kepada Jamaah

Menurut rukun dan hukum haram berjamaah haram kepada ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin

Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian wala’ kepada pemimpin dalan pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Disiplin

Firman Allah, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

(ali Imran : 200)

Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaiman berikut:

1. Tatatertib dan kelakuan diri.

2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.

3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.

4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan

Harakah Islamiah (PAS) telah menetapkan perkara-perkara ini secara menetapkannya di dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara yang dinamakan tatatertib :

1. Taat kepada hukum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah.

2. Patuh kepada perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya.

3. Taat kepada arahan dan perintah jamaah.

4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya yang boleh.

5. Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah.

6. Beramal dengan akhlak Islam.

7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah.

Penutup

Akhlak dan disiplin penting bagi setiap ahli demi kebaikan jamaah. Setiap ahli mesti berdisiplin dan melengkapkan diri dengan akhlak Islam bagi meningkatkan kejayaannya kepada sasaran dakwah dan matlamat kerana tindakan individu ahlinya menjadi contoh dan perhatian di samping dapat mewujudkan jentera dalaman yang baik bagi mentadbir segala kegiatannya.

Sumber : BuletinOnline.Net

Friday, November 30, 2007

Salam Perjuangan

Assalamualaikum:
Kepada semua sahabat-sahabatku yang dikasihi semoga kalian semua sihat dan terus mantap didalam memperjuangkan agama Allah yang dicintai dimana kalian semua berada.

Maafku pohon pada semua sekian lama aku tidak menjenguk blog ini, bukan aku futur selepas berkahwin, tetapi beberapa masalah yang menyebabkan blog ini hampir dipenuhi sawang.

Antara sebabnya aku terpaksa pindah rumah baru bersama isteri tercinta, proses nak masuk internet kerumah makan masa yang lama, dalam masa yang sama aku sibuk dengan berbagai tugas peribadi, keluarga dan persatuan. Sekali lagi maafku pinta pada semua.

Kalau dilihat pada banner blog aku ini sungguh sedap ayat yang diletakan iaitu "PERJUANGAN TANPA HENTI". Maksud itu bukan hanya berjuangan disini tapi agenda perjuangan kita sangatlah besar. Oleh itu aku menasihati diriku yang lemah ini dan sahabat-sahabat semua marilah kita berada dalam satu soff yang sama dalam meneruskan perjuangan Rasul-Rasul, Nabi-Nabi, Sahabat-Sahabat Nabi dan mereka yang penuh yakin terhadap janji ALLAH.

Marilah kita renungi kalam As-Syahid Syed Qutb : Kita bukan orang yang memulakan perjuangan dan kita bukan orang yang mengakhiri perjuangan, tetapi kita adalah yang menyambung perjuangan para Rasul dan Nabi terdahulu.

Oleh yang demikian kita mesti membudaya sikap tegur menegur supaya sahabat-sahabat kita sentiasa bersama kita dalam menjayakan agenda yang satu, matlamat yang satu demi agama Islam yang dicintai. Buanglah sikap malu, pentingkan diri sendiri, budaya takut, malas dan segala sifat mazmumah yang melemahkan kita dalam perjuangan. Updatekan diri kita setiap hari agar kita sentiasa cemerlang dimana saja kita berada.

Akhirnya sambutlah tanganku, marilah kita seiring menuju ilahi dengan hati yang sejahtera...

Friday, September 14, 2007

Ramadhan Meneguh Istiqomah

Sesorang sahabat telah meminta kepada Nabi s.a.w supaya menasihatinya dengan satu perkara supaya dia boleh terus berpegang dengan kata-kata Nabi s.a.w, lalu baginda berkata kepadanya yang bermaksud : berimanlah kamu kepada Allah kemudian kamu istiqomah (tetap dan terus beriman hingga akhirnya).

Didalam kehidupan ini berbagai ujian dan cabaran yang sentiasa hadir bagi menguji keimanan seseorang. Allah tidak biarkan kehidupan seseorang yang beriman dengan begitu sahaja, bahkan semua manusia yang mengaku beriman mestilah bersedia menghadapi setiap ujian yang Allah aturkan bagi menentukan dan membezakan siapakan makluknya yang benar-benar beriman ataupun sebaliknya.

Hikmah Allah didalam menjadikan setiap bulan yang masing-masing punya kelebihan tersendiri. Sekali lagi Allah telah muliakan hambanya dengan berlumba-lumba beribadat dengan penuh kekhusyukan didalam bulan yang didalamnya diturunkan Al-quran. Ramadhan iaitu bulan yang dapat dinikmati oleh umat Nabi s.a.w yang tidak diberikan selain umat Muhammad s.a.w.
Peluang yang Allah berikan ini janganlah disia-siakan, kerana bulan Ramadhan akan mendidik setiap jiwa dengan membersihkan segala dosa dan menambahkan keyakinan dan terus istiqomah didalam bulan-bulan yang lain didalam menghadapi ujian hidup.

Singkapan sejarah telah membuktikan bahawa sahabat-sahabat nabi di uji dengan hebat apabila masuk bulan ramadhan mereka berhadapan dengan peperangan, hari panas yang begitu terik yang menguji keimanan mereka. Akhirnya mereka benar-benar lahir dengan hamba Allah yang begitu kuat didalam mempertahankan keimanan mereka. Mereka terus istiqomah bersama Nabi s.a.w didalam memperjuangkan agama Allah.

Istiqomah umpama seseorang yang menaiki bukit yang tinggi sambil membawa air dikiri kanan tangan. Walaupun berat, penat, letih, susah dan sebagainya perjalan mesti diteruskan bagi mencapai matlamat untuk sampai kepuncak dengan memastikan air tidak tumpah ataupun berpatah balik kebelakang. Sekiranya penat sekalipun dia akan berehat dan kemudian meneruskan perjalanan hingga tempat yang dituju itu sampai.

Begitulah hidup ini, walau berbagai kesusahan yang dihadapi, kehidupan mesti diteruskan. Keimanan kepada Allah mesti dilalui dengan pelbagai ujian dan cabaran. Oleh itu perlulah sentiasa meningkatkan kerja buat kita demi perjuagan Islam. Semoga Kita sentiasa menjadi orang yang dipilih mendapat rahmatNYA.

Semoga Ramadan ini menjadikan kita lebih istiqomah dalam perjuangan Islam

Salam Ramadhan

Friday, August 10, 2007

Mendepani Isu Semasa

Antara Isu-isu semasa yang perlu diambil perhatian :

  • Isu dunia
  • Isu yang melanda umat Islam
  • Isu Malaysia
  • Isu persatuan pelajar dan PMRAM dimesir.


Isu Dunia

  • Keadaan dunia sekarang yang bergolak, negara yang kuat sering menindas negara yang lemah, Amerika sebagai contoh sekarang ini cuba menjadi juara disemua peringkat, mengusai ekonomi dunia, menjadi polis dunia, negara yang tidak mahu bersamanya akan menjadi sasaran peperangan.
  • Peperangan saudara banyak belaku di negara-negara miskin
  • Dunia semakin tua, gempa bumi yang meragut puluhan juta orang setiap tahun.
  • Isu Nuklear, berlumba-lumba menguasai senjata nuklear sebagai alasan untuk mempertahankan diri dari ancaman luar. Negara yang mempunyai senjata nuklear : Amerika, Rusia, China, Korea Utara, Israel dan Iran.


Isu yang melanda umat Islam seluruh dunia.
  • Isu Plestin. Sikap jahat Israel yang dibantu Amerika berusaha mengusir umat Islam di Plestin dengan berbagai kekejaman dilakukan setiap hari pada umat Islam Plestin.
  • Isu penghinaan terhadap Islam yang belaku diseluruh dunia. Orang Kafir bahkan lebih teruk umat Islam sendiri menghina Nabi Muhammad dan memperlekeh ajaran yang dibawa oleh baginda. Contoh : Denmark teleh menghina nabi dengan lukisan kartun, Britain telah anugerahkan Sir Kepada Salman Rusdy kerana kejayaannya menghina Dunia Islam Dan Umat Islam
  • Isu Tudung, Umat Islam dilarang mengamalkan ajaran agamanya.
  • Kewujudan OIC sebagai Kuda tunggangan Amerika, walaupun Perdana Menteri Malaysia menjadi ketuanya, hanyalah mampu berkata Ohh I see.
  • Pertubuhan, Pergerakan Islam dicop sebagai penganas, ditangkap, diseksa oleh amerika dan disokong oleh negara yang mengaku sebagai pemimpin umat Islam.

Isu Malaysia

  • Gejala Murtad semakin menjadi-jadi yang melanda umat Islam Malaysia.
  • Rasuah meningkat setiap hari, Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang dikeluarkan Transparency International jatuh dari kedudukan ke-39 ke tangga 44 daripada 163 negara yang terlibat dalam kajian tersebut. Berikutan kemerosotan itu, kedudukan Malaysia di wilayah Asia Pasifik berada pada kedudukan ke-10, mengatasi negara serantau lain seperti Thailand, China, India, Vietnam, Filipina dan Indonesia.
  • Gejala Sosial yang semakin parah, Contoh : Mat Rempit, cabul gadis, bunuh, Hiburan yang terlalu banyak bagaikan cendawan tumbuh, Walaupun diharamkan oleh pihak mufti tetapi tidak diendahkan. Contoh sure heboh tukar jom heboh.


Isu Kesatuan Pelajar & PMRAM

  • Mahasiswa aset utama negara yang bakal pemimpin negara akan datang. Kebijaksanaan dan kematangan mahasiswa perlu digilap setiap hari dengan aktiviti meningkatkan mutu kemahasiswaan.
  • Mahasiswa di Malaysia dikenakan akta Auku, diluar negara pegawai rumah negeri menjadi pemantau aktiviti mahasiswa. Ancaman bantuan dan pinjaman akan ditarik jika bersama persatuan yang dicop agen pembangkang.
  • Persatuan mahasiswa diganggu oleh pihak-pihak tertentu kerana mahu mengongkong dan mengawasi setiap pergerakan pelajar kerana beberapa kepentingan pemimpin negara.
  • PMRAM dicop sebagai agen yang menjayakan tuntutan pembangkang. Setiap hari PMRAM diserang, diburuk-burukkan demi ingin melihat kehancuran PMRAM dari terus bergerak.
  • Segelintir Mahasiswa Mesir menjauhi PMRAM kerana takut segala bantuan dinafikan.


Ulasan

Mahasiswa yang punya jati diri perlulah peka terhadap segala isu yang belaku keatas dunia, Umat Islam, tanah air dan isu dunia mahasiswa. Mahasiswa yang berjaya mendepani Isu adalah bukti kejayaan mereka didalam menghadapi berbagai keadaan dan cabaran yang mendatang.

Mahasiswa yang bakal menganti pimpinan negara mesti mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu, dengan membuat pelbagai kajian, statistik, merencana, mengatur, memimpin dan sebagainya, inilah antara input yang mesti dibajai, digilap setiap hari pada jiwa mahasiswa. Perkara ini sangat perlu agar mereka menjadi pemimpin yang kuat yang mampu membawa kejayaan dunia akhirat bagi sesebuah negara atau pertubuhan dunia sekalipun dengan cara pimpinan yang berlandaskan wahyu ilahi.

Perancang yang berjaya

Mendepani Isu adalah membolehkan sesorang itu menjadi perancang yang berjaya. Sebagai contoh mahasiswa mesti bijak untuk mengatur apa yang perlu dipersiapkan pada masa sekarang untuk keperluan hari esok. Begitulah seterusnya, didalam apa-apa bidang sekalipun mestilah bijak membaca isu yang bakal lahir akan datang.

Jangkaan atau kajian yang perlu dibuat untuk persedian demi kejayaan hari esok. Pakar ekonomi yang bijak mesti melihat ekonomi sekarang dan akan membuat pertumbuhan atau peningkatan ekonomi yang mendatang.

Mahasiswa yang bakal keluar nanti akan melahirkan pelbagai pakar didalam bidang masing-masing. Justeru itu untuk menjadi doktor, jurutera, sainstis, peguam dan pelbagai pakar yang lain mestilah mempunyai persiapan dan perancangan yang tersusun dengan pelbagai kaedah terkini. Oleh itu mahasiswa jangan sibuk dengan pelbagai hiburan dan perkara yang melalaikan kerana perkara yang sia-sia menyebabkan kegagalan yang berpanjangan.

Kepimpinan di alam mahasiswa mesti ditingkatkan, mengkaji, meneliti beberapa kejayaan pimpinan mahasiswa di universiti, melihat sejarah kejayaan mahasiswa didalam membawa arus perubahan dan kematangan mereka didalam memimpin dan menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Memahami waqi (realiti)

Kefahaman terhadap keadaan semasa sangatlah perlu kerana semua perkara mengikut keperluan semasa. Tersilap didalam memahami keadaan dan kehendak umum membawa kepada kegagalan dengan apa yang ingin diutarakan. Keperluan Teknologi berubah setiap hari, kepakaran manusia semakin meningkat, Peningkatan graduan universiti menghasilkan jumlah yang ramai setiap tahun.

Mahasiswa yang ingin menjadi penyambung risalah nubuwwah mestilah bijak kuasai keadaan semasa untuk menarik seberapa ramai manusia kearah memahami Islam yang syumul. Kepelbagai konsep dakwah mestilah dipraktikan apabila berhadapan dengan pelbagai latar belakang orang yang ingin didakwahkan (mad’u).

Penguasaan terhadap isu-isu dunia, umat Islam, dunia Kemahasiswaan dan sebagainya mestilah diambil perhatian bagi memahami realiti untuk mencorak dan menghadapi perubahan-perubahan semasa untuk membentuk masyarakat yang punya hala tuju mencapai kejayaan dunia akhirat.

Tuesday, July 17, 2007

Sentiasa Mengharap Pentarbiahan Dari Allah

Sedar tidak sedar kita telah masuk didalam bulan Rejab. Begitu cepat masa berlalu. Namun bagaimanakah tahap keimanan kita? adakah semakin meningkat ataupun sebaliknya?. Allah telah membentangkan panduan khusus iaitu Al-quran untuk hambanya sentiasa mengingati dari sifat lalai dan leka. Benarlah firman Allah dalam surah Al-asr : Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Allah s.w.t telah mengatur alam ini dengan sebaik-baiknya. Cukup indah, lengkap dan sempurna untuk hambanya mentadbir alam ini dengan panduan yang Allah tetapkan. Allah s.wt telah menjadikan setiap hari, bulan, tahun yang semuanya mempunyai keistimewaan masing-masing. Kesemuanya ini untuk hambanya bersyukur atas nikmatnya yang terlalu besar.

Pertarbiahan atau didikan dari Allah melebihi dari segalanya. Inilah nikmat yang paling besar yang perlu kita syukuri kerana nikmat inilah yang menjadikan kita sentiasa sedar dan sentiasa mempertingkatkan amalan kita yang sudah tentu ianya menjadi bekal yang berkekalan untuk bertemu Allah kelak.

Dalam seminggu hari Jumaat hari yang Allah muliakan dengan berbagai-bagai ganjaran bagi hambanya yang sungguh-sungguh mengharapkan limpahan rahmatnya pada hari itu. Begitulah seterusnya Allah jadikan bulan-bulan yang lain untuk mendidik manusia supaya tidak lalai dengan keasyikan dunia yang fana ini.

Sekarang kita telah sampai di bulan Rejab, bulan yang Allah muliakan seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w : Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat. Sabdanya lagi : bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku.

Kemulian-kemulian ini bukan hanya untuk dibaca atau sekadar tahu sahaja atau kemulian hanya tinggal kemulian sahaja, tetapi untuk mereka yang benar-benar menghargai dan menerima untuk diamalkan didalam kehidupan ini. Dengan ini marilah kita menyingkap kembali kemulian bulan ini agar kita dapat mempertingkatkan kerja buat kita didalam bulan ini.

Info Bulan Rejab :

Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya
Sya'aban dengan malam NISFUnya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.

Malam awal Rejab mustajab do'anya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah.

Puasa Bulan Rejab wajib baginya:
* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.

Allah menjawab: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka. Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya: "Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu.

Demi ketinggian Ku dan kebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau".( dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah sepertipuasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.
REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

Sunday, July 1, 2007

Kenali Bumi Ardil Kinanah

APAKAH KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN MESIR?

Sebanyak 30 tempat dalam al-quran menceritakan tentang peristiwa, Keagungan dan kelebihan bumi Mesir. Kisah Mesir terdapat dalam surah Yusof 21, 23, 30, 35, 67, 78, 99 dan 100. Surah Al-Qosos ayat 15, 20, 38, 71 dan 76, surah al-kahfi ayat 83, 86, 94 dan 96. Surah Toha ayat 12, 72, surah as-syura ayat 34, 37, 46 dan 48. Surah Al-Baqorah ayat 61, Surah Yunus ayat 86, Surah Maryam ayat 52,
Surah Ambiya' ayat 68, surah Mukminun ayat 50, Surah An-Naml ayat 61, Surah Ghofir ayat 28, surah AL-Zukhruf ayat 51, Surah Ad-Dhuhan ayat 25 dan 27, Surah Ar-Rahman ayat 19 dan 20 dan surah Al-Fajr ayat 7 dan 8.


Antara perkara-perkara yang menarik dan ajaib di Mesir yang tidak terdapat di tempat lain adalah:

Bukit Thur Sina'
Sungai Nil
Peristiwa Nabi Musa Di Sinai
Tempat lahirnya Nabi Musa, Nabi Harun dan Nabi Isa
Tempat pohon Maryam ketika membawa Nabi Isa
Piramid (salah satu benda ajaib dunia)
Tasik Qorun

Kelebihan Mesir juga banyak diriwayatkan dalam Hadis Rasulullah S.A.W antaranya: Empat sungai nil daripada sungai syurga iaitu:

1. Sungai Saihan
2. SungaiJihan
3. Sungai Nil
4. Sungai Furat

Apabila negara Mesir dibuka kepada kamu, maka jadikanlah padanya tentera yang kuat. Tentera Mesir adalah lebih kuat dari negara lain di dunia kerana mempunyai kubu-kubu pertahanan yang berterusan hingga hari kiamat.