Sedar tidak sedar kita telah masuk didalam bulan Rejab. Begitu cepat masa berlalu. Namun bagaimanakah tahap keimanan kita? adakah semakin meningkat ataupun sebaliknya?. Allah telah membentangkan panduan khusus iaitu Al-quran untuk hambanya sentiasa mengingati dari sifat lalai dan leka. Benarlah firman Allah dalam surah Al-asr : Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
Allah s.w.t telah mengatur alam ini dengan sebaik-baiknya. Cukup indah, lengkap dan sempurna untuk hambanya mentadbir alam ini dengan panduan yang Allah tetapkan. Allah s.wt telah menjadikan setiap hari, bulan, tahun yang semuanya mempunyai keistimewaan masing-masing. Kesemuanya ini untuk hambanya bersyukur atas nikmatnya yang terlalu besar.
Pertarbiahan atau didikan dari Allah melebihi dari segalanya. Inilah nikmat yang paling besar yang perlu kita syukuri kerana nikmat inilah yang menjadikan kita sentiasa sedar dan sentiasa mempertingkatkan amalan kita yang sudah tentu ianya menjadi bekal yang berkekalan untuk bertemu Allah kelak.
Dalam seminggu hari Jumaat hari yang Allah muliakan dengan berbagai-bagai ganjaran bagi hambanya yang sungguh-sungguh mengharapkan limpahan rahmatnya pada hari itu. Begitulah seterusnya Allah jadikan bulan-bulan yang lain untuk mendidik manusia supaya tidak lalai dengan keasyikan dunia yang fana ini.
Sekarang kita telah sampai di bulan Rejab, bulan yang Allah muliakan seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w : Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat. Sabdanya lagi : bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku.
Kemulian-kemulian ini bukan hanya untuk dibaca atau sekadar tahu sahaja atau kemulian hanya tinggal kemulian sahaja, tetapi untuk mereka yang benar-benar menghargai dan menerima untuk diamalkan didalam kehidupan ini. Dengan ini marilah kita menyingkap kembali kemulian bulan ini agar kita dapat mempertingkatkan kerja buat kita didalam bulan ini.
Info Bulan Rejab :
Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya
Sya'aban dengan malam NISFUnya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.
Sya'aban dengan malam NISFUnya
Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.
Malam awal Rejab mustajab do'anya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)
Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.
Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah.
Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.
Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah.
Puasa Bulan Rejab wajib baginya:
* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.
Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.
Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.
Allah menjawab: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka. Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya: "Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu.
Demi ketinggian Ku dan kebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau".( dari kitabRaudatul Ifkar)
Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah sepertipuasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.
Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.
Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.
Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.
REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.
REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.
REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.
4 comments:
1 Kelebihan bulan Rejab atas segala bulan
As - Silafi meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berabda :
Ertinya: Kelebihan Rejab atas segala bulan bagaikan kelebihan Al-Quran atas segala zikir; kelebihan Sya'ban atas segala bulan adalah seperti kelebihan Muhammad atas segala para Nabi dan kelebihan Ramadhan atas segala bulan bagaikan kelebihan Allah atas segala hambanya.
Hadith ini adalah Maudhu'
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Sanad Hadith thiqah , kecuali Hibatullah As- Saqathi, dialah yang menjadi penyakitnya
Kata As-Sam'ani : Ia mendakwa mendengar hadith dari Syeikh - syeikh yang tidak pernah dilihatnya
Kata Ibnu Nashir : Hibatullah bin Al-Mubarak Al-saqathi ini tidak thiqah dan nyata dustanya
Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 517
2 Kelebihan berpuasa di bulan Rejab
Ibnul-Jauzi menyebutkan dari riwayat Al-Furat bin As-Saib , dari Maimum bin Mahran dari Abu Zarr r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya: Barangsiapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan . Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup baginya pintu - pintu Neraka Jahim yang tujuh . Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan bagikan baginya pintu - pintu Syurga yang lapan itu . Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatan - kejahatannya dengan kebaikan - kebaikan , dan barangsiapa berpuasa lapan belas hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan .
Kata Ibnul-Jauzi : Hadith ini tidak sah
Kata Yahya bin Ma'in : Al - Furat bin As-Saib tidak bernilai apa-apa.
Kata Al-Bukhari dan Ad-Daruquthni : Dia adalah matruk
Dalam sanad juga terdapat Risydin Abu Abdullah yang juga seorang yang matruk
Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 524
Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:
"Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56).
Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya". ( Surah al-Kahfi: ayat 110).
Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)).
(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).
Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin ‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw.
(Ibn Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15).
Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya.
Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215)
Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw.
Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:
1) Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mi’raj.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab. Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu. Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita.
(Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).
2) Solat Raghaib
Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian membaca: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala alihi), kemudian sujud dan membaca: (Subbhuhun Quddusun Rabbu al-Malaikatu wa al-Ruh) sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan kemudian membaca: (Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta al-‘azizu al-a’dzam) sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan membaca seperti bacaan di sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala hajatnya, nescaya akan ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah sekelian dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan ia akan dapat memberi syafaat pada hari Qiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya…))
(Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2, m/s 124-125).
Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta ke atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang mereka).
Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: al-Fawaid al-Majmu ‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhu’)).
Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang solat Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat tersebut.
Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya adalah terlalu banyak dan tidak terhitung.
(Al-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Bierut: Dar al-Ma’rifah, cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.
Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah pendapat tentang kewujudan solat ini dengan berkata: Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak menggalakkannya serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan imam-imam yang menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya keutamaan-keutamaan yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut mengenainya adalah dusta dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh kerana itu ahli-ahli tahqiq mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh, bukan sunat)).
(Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 1/149)
Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur (kebanyakan) ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini adalah di kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu Bakar ibn al-Sam‘aniy, Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan yang lain lagi, dan perkara ini tidak disebut oleh ulamak yang awal disebabkan ianya hanya muncul selepas daripada zaman mereka, dan yang terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400 tahun, maka sebab itulah golongan ulamak yang awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak membincangkannya
(Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228)
Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bid ‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat ra serta al-tabi’in..
3) Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khas.
Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau sebahagainya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’ yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:
1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."
Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.
2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…"
Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.
3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".
Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.
Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.
Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.
(Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).
Sayyidina Omar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan Rejab.
(al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Bierut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).
Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw mengenainya)).
(Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440).
Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.
Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.
Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.
Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."
Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.
Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."
Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.
Post a Comment